Bolasepak Malaysia. Piala Dunia dan harapan rakyat Malaysia.

Malam ini pukul 8.45 malam Stadium Nasional Bukit Jalil akan bergemerlapan dengan cahaya dan lautan manusia. Penyokong akan menanti kunjungan Skuad Singa yang rakus membaham Skuad Harimau Malaya di Stadium Jalan Besar minggu lalu. Di dada akhbar dua tiga hari ini psikologi bermain di antara ke dua pasukan. Masing-masing bagaikan Machine Gun memuntahkan peluru-peluru pembunuh untuk mematahkan ego kedua belah pihak. Singapura menyandarkan dua gol untuk bekalan pemusnah jalan ke Piala Dunia skuad bimbingan Raja Gobal. Namun Skuad Raja Gobal juga punya bekalan untuk menutup mulut Sang Singa dengan menghimpunkan pejuang-pejuang di belakang gol dan di sekeliling bangku stadium. Sorakan akan mengalahkan ego Sang Singa yang dikatakan tidak gentar. Namun hanya malam ini sahajalah kedua-kedua belah pihak akan mengetahui ego siapa yang lebih besar. Malam ini juga antara kedua mereka di atas padang dan di luar padang membawa pulang malu, kemarahan dan dendam. Bolasepak telah menyaksikan banyak sejarah tercatat. Baik di rantau Asia mahupun di seluruh dunia. Apa yang penting biarlah semangat kesukanan melebihi parasaan yang lain. jangan jadikan pentas sukan terbesar penggemarnya ini menjadi pemusnah semangat setiakawan di antara kedua negara berjiran ini. Namun penyokong adalah manusia biasa. Mereka akan menjadi leka dengan impian yang mungkin boleh menjahanamkan erti kemanusiaan. Pentingnya penyokong Malaysia malam ini untuk berada di dalam situasi penuh kawalan. Insiden membaling objek ke tengah padang pada perlawanan minggu lalu adalah sesuatu yang memalukan. Kita tidak mahu ianya berulang lagi pada malam ini.Singapura sudahpun memainkan isu penonton yang kurang cerdik ini. Apatah lagi tindakan kapten pasukan Singapura yang mengambil kesempatan provokasi itu dengan isyarat tangan “looser” ke arah penonton Malaysia. Ini menambahkan lagi elemen dendam dan amarah penyokong Malaysia.

Apapun yang berlaku tempohari jangan jadikan pengukur kepada kebangkitan yang diperlukan oleh Skuad harimau Malaya. Tiket stadium dikatakan sudah habis di beli. Namun ada persoalan adakah ulat-ulat tiket akan bemaharajalela dengan menjual tiket sekali ganda mahalnya malam ini. Mereka bersedia melanggar peraturan asalkan matlamat keuntungan tercapai.Petugas stadium dan anggota penguatkuasa harus berkerja keras malam ini. Mereka sepatutnya mengawal gejala tidak sihat ini dari berlaku. Kita tidak mahu elemen-elemen tidak sihat ini menjalar dalam suasana panas yang bakal menjadi lebih panas lagi.

Piala Dunia tidak pernah kita layak. Hanya gapaian olimpik di waktu kemuncak tahun 60an, 70an dan 80an. Pemain-pemain kebangsaan Malaysia dahulu adalah antara yang terkuat di rantau sini. Namun kita tidak pernah mencium bau sampai ke gelanggang Piala Dunia itu. Kalau melihat kepada skuad yang ada pada hari ini, kemungkinan kita akan terus kempunan untuk mencapainya. Namun dalam bolasepak tiada yang mustahil. COPA AMerica yang berakhir baru-baru ini ini jelas menunjukkan bahawa kadang-kadang nasib berpihak kepada pasukan yang lemah. Paraguay bukan sebuah pasukan yang kuat tapi dapat masuk ke final berbekalkan nasib menang sepakan penalti penentuan.Venezuela yang lebih tersusun yang sepatutnya berada di final tersungkur. Ini menunjukkan apa sahaja boleh berlaku dalam bolasepak. Mungkinkah nasib bakal diciptakan oleh Malaysia. Walau apa pun Skuad Malaysia bukanlah seburuk yang disangka. Malaysia boelh digilap menjadi lebih baik lagi. Psikologi pemain dan pengalaman mungkin jadi penentu samaada barisan anak buah Raja Gobal boleh menang atau tidak. Statistik permainan dengan Singapura tempohari kita memiliki sebilangan pemain yang boleh di angkat sebagai pemain profesional membanggakan.Namun sebahagiannya pula hanya boleh di kategorikan sebagai pemain semi-profesional. Gabungan yang tidak lengkap inilah yang membezakan kedudukan Malaysia pada malam ini. Semangat melawan tidak cukup kental untuk melawan asakan pemain veteran singapura yang dibarisi kebanyakan pemain import. Kita tidak boleh menyalahkan padang rumput tiruan atau pemain import yang menjadi punca kekalahan malaysia. Seperti yang dikatakan tadi kita tidak mempunyai gabungan pemain-pemain yang benar-benar kuat seimbang di setiap posisi. Barisan depan di bawah kendalian Safie Sali dan kedua sayap yang di mainkan oleh Kunalan dan AmirulHadi Zainal adalah senjata pemusnah malaysia yang berbisa. Barisan tengah malaysia akan menjadi satu persoalan yang besar dengan ketiadaan Safiq Rahim. Barisan pertahanan merupakan faktor penentu jika Raja Gobal membiarkan kerapuhan meinggu lalu berulang. Adakah pemilihan pemain-pemain untuk skuad Harimau Malaya seperti Mahali Jasuli Mohd Asruddin Putra Omar, Mohd Muslim Ahmad, Mohd Fadhli Mohd Shas, Mohd Aidil Zafuan,Helmi Remeli, Mohd Azmi Muslim,Mohd Rizal dan Fahmi Ab Rosid adalah satu kesilapan kepada Raja Gobal. Percaturan malam ini perlulah bijak. Kita perlukan pemain pertahanan yang lasak, tangkas, pantas dan tahu mencuri bola. Mereka juga harus berhati-hati. Singapura mungkin akan mengamalkan corak bertahan. Tapi counter attack pasti menjadi taktikal yang berkesan. Kerana itu kita perlukan pemain pertahanan yang pantas dan fit untuk mengekang kuda-kuda tua singapura yang merbahaya itu. Malaysia mungkin akan melancarkan serangan-serangan sepanjang perlawanan. Itu adalah pasti. Namun benteng pertahanan perlu diperincikan supaya tiada yang leka untuk ke depan tanpa menghiraukan barisan belakang. Pemain midfield perlu bekerja keras malam ini untuk turun dan naik membantu depan dan belakang.Pastinya fitness akan menjadi satu halangan besar kepada Singapura tetapi sepatutnya tidak kepada skuad muda Harimau malaya. Namun jangan jadi sebaliknya pula nanti.

Bagaimana pula dengan pintu gol? Gawang ini tidak kebal langsung. Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Sharbinee Allawee, dua penjaga gol yang sedang bergelut dengan prestasi. Penjaga Gol ketiga Mohd Nasril Nordin, rasanya tidak dapat membantu. Mohd Sharbinee Allawee menjadi bahan kutukan minggu lalu. Langsung tidak berdaya saing. Malah seperti tidak biasa berdepan dengan tekanan. Malam ini tekanan lebih tinggi. Mohd Sharbinee Allawee tidak perlu di turunkan. Khairul Fahmi Che Mat mungkin boleh diguna pakai. Walaupun sedang terumbang ambing namun Raja Gobal tiada pilihan lain. Selepas malam ini menang atau kalah sesuatu harus di lakukan untuk mencari penjaga gawang yang benar-benar mantap.

Artikel ini bukan untuk menyampaikan perasaan rakyat Malaysia pada malam ini sahaja. Tetapi untuk seterusnya. Kita mungkin menang malam ini. Jika pemain Malaysia beraksi konsisten dan dapat menyerap tekanan mental dan fizikal yang paling maksimum, malam ini kita akan menang bergaya. Singapura sebenarnya terlalu rapuh dan banyak lompang-lompangnya. Pemain-pemain muda Malaysia berada dalam situasi tertekan mencari dua gol tetapi mereka perlu sedar tiada apa yang perlu mereka bimbang. Kalah menang adat permainan, tetapi biarlah bermain dengan penuh semangat, kental dan berhabis-habisan. jangan putus asa. Biarpun kita di bolosi gol awal malam ini ia bukan tamat segalanya. Kita biasa mengejar dari belakang. Tiada yang mustahil. Namun untuk lebih baik mereka harus mencari dua gol awal. Selepas itu tiada lagi yang perlu dirisaukan. Jangan menoleh kebelakang. Kita mencari gol bukan mencari nama. Jangan cuba menjadi pemain fancy.Kita bukan mencari gol cantik tetapi mencari gol untuk menang. Malam ini akan menjadi penanda kejayaan kita seterusnya. Jika menang dan kita mampu menang, jalan seterusnya akan menjadi lebih panjang. Jadilah skuad impian rakyat Malaysia. Kembalikan semangat Abdul Ghani Minhat (gelaran “Raja Bola”), Arthur Koh, G. Govindaraju, Robert Choe, Edwin Dutton, Stanley Gabriel.Berterusan dengan Mokhtar Dahari, Isa Bakar, Soh Chin Aun, Hassan Sani, Santokh Singh, Bakri Ibni, Abdah Ali, R Arumugam dan ramai lagi pemain-pemain lagenda yang sentiasa kekal berada di sanubari peminat bolasepak tempatan. Kembalikan fenomena seperti kemenangan di Piala Suzuki. Mungkin inilah masanya Malaysia menaiki anak tangga kejayaan. Bukan untuk diri sahaja tetapi jutaan peminat dan rakyat Malaysia. Kita ingin nama malaysia terpahat sebagai sebuah pasukan yang mampu sampai ke Piala Dunia. Meskipun lambat kita mesti bermula. Malam ini ada sinar kegembiraan.Semuanya tidak mustahil. Hanya Skuad Harimau Malaya mampu melakukannya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s