Bola Malaysia…..

Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF 2010. Seluruh rakyat Malaysia (walaupun sebenarnya bukan semua) bergembira kerana kemenangan itu di susuli dengan cuti umum. Perdana Menteri dengan bertenaga mengumumkan cuti itu kerana ia merupakan satu hari bersejarah buat rakyat Malaysia. Sesuatu yang boleh di terima kerana bukan selalu kita dapat cuti saguhati apatah lagi menang trofi yang walaupun pada hakikatnya tiada rating di berikan oleh FIFA. Malaysia juara dari kalangan negara-negara ASEAN, mengatasi Indonesia yang 4 kali mencuba di pentas Final tapi tersekat , mengatasi Thailand sebuah negara Bolasepak yang gah di Asia Tenggara sejak beberapa lama dekad moden ni. Mengatasi juga Vietnam, Singapura, Filipina,Laos dan lain-lainnya. Pelik dan ajaib kerana Malaysia bermain bola seperti Yoyo, asal boleh sahaja tapi menang Piala dengan bangga. Memang kita seharusnya bangga kerana kita menang sabung setelah di perkotak-katikkan oleh kelemahan daya fikiran pemain Indonesia yang menggunakan isu Laser. Mereka kalah kerana mereka terlalu beremosi dan terlalu ego. Malahan mungkin ada sikap memperlekehkan lawan yang mereka panggil Malingsia kerana isu-isu semasa yang tidak menggembirakan mereka. Namun isu yang lebih penting ialah kita menang moral menundukkan permainan kotor dalam dunia sukan.Syabas di ucapkan kepada semua pemain Malaysia kerana telah berjaya menundukkan keegoan sesetengah pihak di masa yang sama memberi semangat kepada kesuraman dunia Bolasepak Malaysia kini. Mungkin selepas ini Stadium yang dulunya hidup segan mati tak mahu mungkin boleh kembali bernafas. Mungkin akan menjadi lebih hidup dan meriah.

Akhbar hari ni (khamis 13 Januari 2011) sekali lagi memaparkan kisah-kisah kejayaan anak-anak didik Rajagobal itu. Tapi beritanya bukan tentang bola tapi tentang imbuhan. Beberapa hari sebelum Malaysia melangkah ke padang untuk Final bertemu Indonesia, mereka telah di janjikan pelbagai habuan. Kini habuan itu berada dekat dengan mereka. Di atas kertas anak-anak muda belia ini sudah menjadi kaya sekelip mata. Mungkin bukan dengan jutaan wang ringgit tapi dengan aset tanah, rumah, unit amanah pelaburan dan pelbagai insentif lagi. Malahan di dada akhbar mereka boleh bergambar sebaris dengan Perdana Menteri Malaysia. Malahan ada diantara mereka boleh duduk bersebelahan dengan Perdana Menteri Malaysia itu. Bulan lepas dan hari-hari berikutnya akan menjadi satu kenangan yang sukar untuk di lupakan kepada semua pemain-pemain ini. Mereka menjadi begitu penting, selebriti dan ikon sukan yang tiba-tiba bergemerlapan dengan limpahan glamor dan kemasyhuran. Persoalannya sampai bila anak-anak muda ini boleh berdepan dengan situasi seperti ini. Adakah kemewahan dan penghargaan berlebih-lebihan ini akan menjadi satu penanda aras yang akan membawa mereka pergi lebih jauh lagi?? Atau selepas ini mereka akan menjadi satu lagi cerita sensasi yang akhirnya di tangisi kerana menjadi seperti tradisi yang terdahulu. Mekar dan Pudar sebelum waktunya….

Ramai berpendapat penghargaan dan tumpuan berlebih-lebihan ini sebenarnya tidak sesuai. Apatah lagi mereka cuma menang sebuah Piala yang bukannya menjadi taruhan untuk satu pencapaian gemilang seperti Piala Asia, Piala sukan Olimpik mahupun Piala Dunia  (yang entah bila agaknya mereka mampu beraksi di pentas bola yang paling tinggi itu). Kita cuma menang Piala peringkat setempat yang di kategorikan sebagai peringkat kampung. Bukannya di satu peringkat tinggi yang berstatus A. Jika di ambil kira pencapaian sukan Badminton dan Skuash yang mana kita boleh kira kelas A, pencapaian sukan bolasepak di peringkat Piala AFF Suzuki itu terlalu rendah untuk di gembar-gemburkan sebegitu rupa sehinggakan umpama pesta. Di khuatiri kegembiraan kita itu hanya menjadi jenaka kepada banyak pihak luar sana. Ini boleh di ambil kira dari rangking yang di keluarkan oleh FIFA, di mana Malaysia hanya naik dua anak tangga dari 144 kepada rangking 142. Sesuatu yang boleh di kira pengiktirafan saguhati kerana kemenangan yang tidak lebih sebagai pemanas badan.

Perjalanan skuad bimbingan Rajagobal ini mempertaruhkan pemain-pemain muda belia dan masih remaja. Mereka perlukan bimbingan dari semua sudut. Mereka bakal berdepan dengan cabaran demi cabaran yang lebih besar. Kita kena akui hakikat bahawa skuad muda kita ini masih jauh dari landasan sebuah pasukan yang mantap. Malahan perjalanan di Piala suzuki tempohari dulu juga tampak tempang. Kita lemah pada banyak segi dan sudut. Kekalahan pada perlawanan pertama sehingga di bolosi dengan 5 gol sudah memaparkan keadaan sebenarnya skuad Malaysia. Kita mulakan dengan langkah kanan apabila mendahului Indonesia tapi apabila kita di kejutkan dengan jaringan penyamaan  oleh Indonesia (gol sendiri) kita terus hilang punca. Kita sering berhadapan pemain yang mudah hilang bola. Kawalan yang tidak kemas. Malahan kurang kreatif.  Bahagian tengah yang seharusnya menjadi duri dalam daging setiap pasukan tidak kita miliki. Kita kekurangan pemain yang boleh menghantar bola dengan tepat, pandai mencari ruang dan konsisten dengan tempo permainan pantas. Kita sering hilang punca. Pemain tengah selaku ketua pasukan Safiq bermain baik tapi kadang-kala seperti perlukan sokongan dan bantuan. Kadang-kala hanya berlegar-legar di tengah padang. Begitu juga dengan Safie Salee, walaupun menjadi penjaring terbanyak Malaysia namun dia perlukan lebih banyak stamina, kurang rajin apabila kehilangan bola untuk merampas balik. Ternyata pemain bukan sekadar perlukan skill tinggi tapi juga perlukan fitness yang bagus. Stamina yang tinggi di perlukan untuk satu perlawanan berhadapan permainan pantas. Usah bandingkan EPL, LaLiga atau SerieA Italy kerana permainan mereka pada tahap yang jauh dari keupayaan kita. Namun Pemain Malaysia boleh jadikan satu panduan berguna. Lihat sahaja pasukan kerdil seperti Blackpool, Wigan, Wolves yang boleh membenamkan pasukan-pasukan Giant seperti Liverpool, Chelsea malahan Arsenal. Pasukan ini bermain dengan jiwa walaupun mereka kurang dari semua segi. Mereka mampu menjadi pencabar yang kuat tapi semua itu perlukan semangat, moral dan psikologi yang tinggi.

Menghimbau perlawanan peringkat separuh akhir pertama di Stadium Bukit Jalil, penulis berkesempatan bersama kira-kira 60,000 penonton menonton secara langsung. Sekurang-kurangnya kali pertama selepas bertahun-tahun tidak menjejakkan kaki di stadium. Kali terakhir ketika Malaysia bertemu Brazil dalam satu aksi persahabatan sebelum Brazil ke Korea untuk menyertai Piala dunia dan seterusnya bergelar juara. Melihat permainan tersebut kita tidak mempamerkan aksi mantap. Ternyata pada separuh masa pertama kita terlalu bernasib baik, Vietnam boleh menjadikan kita daging ratahan sekiranya barisan hadapan mereka bermain baik dan konsistem. Malangnya mereka tidak punya Striker yang mampu menjadi penyudah tepat. Dari segi permainan mereka menguasai permainan, malahan boleh katakan mereka seperti berada di halaman sendiri. Tapi mungkin nasib dan memang rezeki kita, perlawanan separuh masa ke dua kita bermain lebih baik. Tahniah kepada pemain Malaysia kerana bijak mencari peluang dan ruang. Alangkah bagusnya jika pemain-pemain Malaysia boleh beraksi konsisten dan tidak terikut-ikut dengan rentak pemain lawan. Mudah putus asa mungkin satu jawapan yang ada tapi Malaysia harus mencari jalan untuk menutup ruang kelemahan pemain itu. Pakar-pakar sukan perlu cari idea bagaimana untuk menjadikan pemain-pemain Malaysia supaya mempunyai moral dan ketahanan minda yang tinggi.

Safiee Salee mungkin berhijrah ke Indonesia, mencari pengalaman bermain di bumi asing, inilah masanya dia  memperkemaskan mutu permainannya supaya tidak menjadi kera sumbang di sana. Kita menantikan tawaran-tawaran dari kelab-kelab luar yang lebih kompetitif seperti bermain di Australia, Jepun atau Korea. Mungkin juga bermain di negara-negara Teluk seperti Qatar, UAE, atau Arab Saudi. Untuk pergi ke arah itu pemain-pemain Malaysia perlu lebih bekerja keras. Ketahanan diri dengan sentiasa mempersiapkan dengan skill permainan yang tinggi dan sentiasa proaktif. InsyaAllah kita bukan sekadar mencari ruang sempit di persekitaran Asia tapi mungkin akan adanya pemain kita yang menyerlah di pentas Eropah. Cuma banyak kerja perlu di lakukan oleh FAM kerana mereka sendiri perlukan kertas kerja untuk merubah diri mereka sendiri. FAM perlu lebih kerap mencerminkan diri mereka. Kerana mereka adalah bapa yang memimpin anak-anak pencinta bolasepak ini……Kalau mereka sendiri pun berjalan tidak betul apa akan jadi pada anak-anak didik mereka…tepuk dada tanya penonton….nanti dapat jawapannya…..

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s